Ciri Para Sahabat Nabi Antara Para Wakil Abah
Sempana dengan hari ini 1 September 2012 " Hari Guru' , saya ingin berkongsi ilmu kepada para pembaca mengenai salah satu karomah Abah Anom ialah beliau berjaya mendidik dan mentarbiah setengah para murid ( terutama yang sungguh-sungguh beramal ) apatah lagi para wakilnya secara rohani. Seolah-olah pelajaran dan pendidikan dari Abah itu telah dimasukkan dalam amalan thoriqahnya, siapa rajin beramal, akan tampak pembangunan dalam dirinya dengan indah, samada dari sudut pencampurannya dengan masyarakat mahupun ibadah. Sebenarnya inilah yang susah bagi seseorang muslim mengimbanginya. Ada yang bagus dalam ibadah, tapi kurang baik dalam campuran masyarakat. Ada pula yang baik dalam campuran masyarakat tapi kurang baik pula dalam ibadah.
Nah disini saya ingin berkongsi dengan inisiatif diri saya sendiri- seorang wakil Abah yang saya kenal kerana dekat, sebagai bukti sebahagian karomah Abah itu benar-benar hebat.
Wakil Abah ini adalah seorang Ustaz yang sangat berkaliber dan sangat tegas ( no nonsense man ):
Beliau banyak menyertai pertubuhan agama atau persatuan Islam , malah hampir kesemuanya beliau menjawat sebagai presiden atau pengerusinya.
Sejak zaman mudanya beliau sangat cekap dalam melihat dan meneliti guru agama antara yang tulen dan sandiwara ( palsu ). Banyak pengalaman beliau dengan para habaib habaib juga, akibatnya beliau terus menerus mencari cari seorang mursyid yang tulen, dengan berkat bimbingan
Kiyai Raden Haji Noh, dan kekuatan serta barokah membaca Maulid Nabi s.a.w, akhirnya pada tahun 1972 beliau berjaya ketemui 'seorang mursyid yang sekian lama beliau mencarinya . Beliau sangat senang dan gembira berjumpa dengan seorang mursyid ini selepas beberapa orang "mursyid" beliau lalui. Sehingga detik ini beliau masih mengkaguminya walaupun guru ini sudah kembali kerahmatullah - Abah Anom.- gurunya Bapak Hamka dan Prof Abu Bakar Atjeh dan ribuan kiyai-kiyai dan para pembesar negara Indonesia.
Ilmu agamanya shamil :
Beliau saya anggap adalah seorang yang benar-benar alim dan solih. Alim disini bukan berarti beliau ini menghafal segala-galanya dalam kitab para ulama kita, tetapi hubungan rohaninyalah yang membentuk kefahaman agamanya yang tepat, sehingga ayat quran dan hadith pula jadi penyokong bagi hujjah hujjahnya. Beliau ini saya perkirakan sudah diberikan Allah wilayah semasa zaman mudanya lagi dari bersebabkan ketaatan kepada kedua orang tuanya dan doa bapanya yang solih lagi majzub ( bapanya seorang pengamal thoriqah Qodiriyah dari Mursyid Maulana Abdul Aleem Siddique r.a ).
Kerohaniannya Yang Tinggi & Kecintaan Abah Kepadanya
Majlis Manaqib 26 Januari 1975 (
manaqib bulan Muharam ) di Suryalaya merupakan sebahagian dari karomahnya dimana didalamnya ada majlis perlantikannya sebagai ' khalifah' serta sekaligus wakil talqin . Majlis ini dihadiri ribuan para ikhwan yang haruman wangian kasturi ilahi mencucurkan puluhan airmata- majlis ini menjadi tanda tanya sebahagian besar ikhwan yang hadir - apakah
rahsia majlis dan perlantikkan ini ? Ramai yang membuat sangkaan......majlis ini sangat mulia
sebab yang dilantik itu wakil talqin pertama untuk luar Indonesia....wah
begitu. ?
Apakah benar sebabnya demikian ? dalam perlantikkan itu kesemua kuku kelima-lima jari wakil talqin ini di tekan
dengan kelima-lima jari kuku Abah dalam bentuk salaman, kemudian kain shal sebagai khirqah thoriqah di
pakaikan ke atasnya oleh tangan Abah sendiri, sebaik sahaja kain khirqah Thoriqah
Qodiriyah Naqsyabandiyah dipakaikan keatasnya- Abah Pakeh ( Macan Suryalaya ) memukulnya dari
belakang dengan kuat - sebagai tanda perasmian perlantikkan sekaligus tercetus sorakkan
tangisan para ikhwan menyusulkan airmata tanpa mereka sendiri mengetahui
hakikat sebenarnya perlantikkan dan keharuan ini.....apakah begini caranya melantik wakil
talqin atau cara melantik penggantinya...?
Setahu saya ada 3 rukyah solihah yang
menjadi dasar dan faktor perlantikkan wakil talqin ini mengambil tempat, akan saya ceritakan kepada Tuan
kali ini. Satu darinya rukyah solihah kepunyaan Abah sendiri yang kita semua tidak mengetahuinya.
Rukyah Solihah Pertama dari Almarhum Pak
Antak :
Saya menceritakan ini berdasarkan
telinga saya sendiri, waktu kami selepas menziarahi Maqam Abah Sepuh bersama
Almukaram Ustaz Ali dengan beberapa ikhwan Singapur dan juga dihadiri oleh Pak
Antak,...kira-kira tahun 1980han.
Sebaik sahaja kami keluar dari
Maqam selepas berzikir yang berjazab, kami berkumpul di bahagian depan pintu
masuk Maqam, masih bawah bumbung maqam, berkata Pak Antak lebih kurang
maknyanya, antara kata-katanya yang panjang :
'' Kamu ikhwan Singapur sangat
beruntung sebab mempunyai Ustaz Ali , saya pernah bertanya kepada Abah Sepuh,
mahu di apakan permintaannya ini - disuruh ambil dulang yang ada di atasnya
bunga-bunga wangi wangian ( Pak Antak menyebutnya dengan bahasa Jawa yang berarti
demikian ) - kata Abah Sepuh berikan kepada Abah ( anom )supaya diberikan
kepada Ali untuk di sebar-sebarkan wangiannya kepada orang lain.''- tamat
Sebaik sahaja saya mendengarnya,
saya anggap ia adalah kenampakkan Pak Antak kerana cara beliau bercerita- Wallahu
A'lam, walaupun Pak Antak pernah hidup sezaman dengan Abah Sepuh satu ketika
dahulu.
Mimpi Kedua dari Almarhum Kang
Aji ( Nur Saidudin ) :
Saya perolehi ceritanya dari
ikhwan Singapur lama yang sudah wafat tahun 1995, beliau adalah sahabat karib
almukaram Ustaz Ali yang lebih terkenal dengan panggilan 'Baiji'.Apabila beliau menceritakan
kepada saya, beliau mengatakan- 'sampai ketika ini, Almukaram Ustaz Ali tidak
mengetahui cerita ini, saya simpan ceritanya dari pengetahuannya'.
Almarhum Kang Aji menceritakan
kepada Baiji- 'Apabila kali pertama Ustaz Ali sampai di Suryalaya, selepas
beberapa hari duduk di Suryalaya, dan selepas Ustaz Ali berangkat pulang, saya
( kang aji ) bermimpi melihat wajahnya sambil memakai mahkota cantik, di atas
mahkotanya ada terlihat 3 bendera, bendara tqn di sebelah tengah mahkotanya,
bendera Suryalaya di sebelah kanannya dan bendera Singapur di sebelah kiri
mahkotanya.'
'Pada keesokan hari , saya jumpa
Abah langsung dan khabarkan mimpi saya melihat wajah salah seorang tamu dari
Singapura yang pulang semalam, sekian sekian mimpinya......kata Abah : Ya Pak
Antak juga diperlihatkan sesuatu, Abah juga diperlihatkan '- tamat
Saya tidak tahu mimpi/kenampakkan Pak
Antak ini, sehingga beliau menceritakan kepada kami di maqam, sebagaimana disebutkan
di atas tadi.
Mungkin ada para ikhwan lama lain
juga mendapat alamah mengenai wakil talqin ini, sehingga pada tahun 1975, satu
majlis manaqib di siapkan untuk beliau, dimana ketika itu beliau sedang
menunaikan haji, beliau mendapat telegraph dari Suryalaya di Saudi, yang
membawa message, Selesai haji, langsung ke Suryalaya.
Thoriqah Ini Hadiah Dari Nabi
s.a.w Kepadanya
Kemudian kami menjumpai satu
rahsia lagi disebalik perlantikkan wakil talqin ini dan juga kelebihan yang ada
pada dirinya. Beliau adalah anak yang sangat taat kepada ibu dan bapanya, pada
setiap pagi selepas solat Subuh beliau akan mendapatkan tangan kedua ibu
bapanya untuk bersalaman sambil meminta keredhaan mereka untuk meneruskan
harinya.Ini diamalkan setiap hari bayangkan...! Ketika usia mudanya, beliau telah menunjukkan kecemerlangannya dalam pelajaran dan juga fasih dalam bersyarah. Seawal 10 tahun dari umurnya, Ustaz ini sudah bersyarah di banyak tempat merata Singapura dan pada peringkat dewasanya syarahannya masuk ke negeri-negeri Malaysia Barat dan Semenanjung Malysia, beberapa tempat di tanah Jawa, Indonesia.
Apabila sampai peringkat remaja, beliau mula sibuk mencari guru mursyid, beliau
dipesan untuk kuatkan amalan bermaulid kerana ianya adalah salah satu thoriqah
yang boleh mendekatkan diri kepada Allah, tambahan pula dalam amalan Maulid itu ada
doa
واعطنا ما قد سألنا # من عطاياك الجسام
' berikanlah kami apa yang kami minta # dari pemberianMu yang besar'- yang ditafsirkan pemberian yang
besar ini ialah 'thoriqah yang tulen'.
Selama 18 tahun terus-terusan
membaca doa ini dalam menghidupkan tradisi Maulid Diba'ie, akhirnya dengan Rahmat Allah dan Syafaat Nabi s.a.w , Almukaram akhirnya berjumpa dengan guru mursyid pada
ketika itu 1972, Abah dalam Ghabah ( hutan tebal Godebag ) perjalanannya sangat
sulit berliku dan banyak gaung, ketika itu Suryalaya seluruhnya masih menggunakan lampu colok.
Rupa-rupanya Thoriqah ini adalah hadiah dari Rasulullah s.a.w kepada Almukaram
dan juga mereka yang mengambil dari Almukaram...sebab itu para ikhwan yang
amalkan thoriqah di luar arena maulid tidak akan sama kesannya sebab thoriqah mereka bukan dari jurusan hadiah tetapi pencapaian peribadi masing-masing.
Hasilnya, jadilah beliau ini
murid dan wakil talqin kesayangan Abah sehingga mereka yang rapat dengan Abah
sangat mengetahuinya, sehingga pemberian Abah kepadanya terlalu banyak,
antaranya yang diketahui : cincin Sheikh Tolhah, cincin Abah yang banyak, tongkat
Abah Sepuh, beberapa tongkat Abah sendiri, kitab-kitab tertentu, beberapa kain
sal, beberapa kopiah, beberapa jubah dan banyak lagi. Malah tiap kali Abah
ingin melantik seorang wakil talqin untuk luar Indonesia, Abah akan meminta
beliau pandangan terlebih dahulu mengenai calon tersebut sebagaimana rujukan
ini saya perolehi bukan dari beliau.
Ada beberapa muslim Singapur yang
berminat untuk ambil bai'ah tetapi kurang senang ambil dari Almukaram ( kerana
sangkaan mereka Almukaram tidak mengikut amalan persis Suryalaya kerana mengamalkan Maulid yang tidak di amalkan demikian di Suryalaya ) , lalu
mereka berombongan ke Suryalaya dengan niat untuk mendapatkan bia'ah secara
langsung 'fresh' dari Abah. Sebaik sahaja tiba di Suryalaya, Abah menanyakan dari
mana kamu ? Mereka menjawab : Dari Singapur. Abah menjawab : " Jika mahu ambil bai'ah, ya nanti bila sudah
pulang ke Singapur , ambil sahaja dari Ustaz Ali....sama saja."
Ilmunya tentang urusan duniawinya dan perniagaan juga tiada tandingan :
Belum pernah saya melihat seorang ustaz seperti beliau - selama 30 tahun yang lalu ( sekarang 2012 )- yang tidak pernah 'mengeluh' dengan masalah kesempitan hidup, wang apatah lagi dalam konteks Singapura, malah beliau selalu mendorong kita agar sentiasa bersedia menangani masalah hidup dengan banyak ibadah kepada Allah dan beliau sendiri berjaya dalam apa jua jurusan yang ditempoh walaupun kerjayanya hanya sebagai seorang tukang masak tapi rezekinya mengalahkan rezeki para menteri...malah ada di antara para menteri datang kepadanya mengeluh dan mengadu dengan masalah dalam kehidupan. Lihatlah bilangan anaknya, rumahnya, kenderaannya dan dibandingkan dengan kerjaya nya dalam bandar kosmopolitan.....pasti ini adalah sebahagian karomah Abah Anom.......ini adalah sebenarnya akuan beliau sendiri.
( Para jamaah / ikhwan mendapat mauunah kerana menyokong para wakil, para wakil pula mendapat inayah kerana setuju untuk menunaikan perintah para wali, dan para wali mendapat karomah kerana meneruskan pejuangan para sahabat dan tabi'in, para sahabat dan tabi'in pula mendapat syafaah kerana berjuang untuk memperkasakan agama yang dibawa Nabi s.a.w, Nabi pula mendapat mukjizat dari Allah kerana menyampaikan urusan Allah ).
Ringkasnya, apa yang diperolehi dari mauunah adalah berasal usul dengan mukjizat Nabi s.a.w dan Keagungan Allah swt.
Banyak meninggalkan bakti pada masyarakat:
Tidak dapat saya hitung dengan tepat, hanya dengan kiraan kasar, dalam masa 15 tahun ( 1990-2005 ), beliau telah berjaya membantu mengumpul dana untuk pertubuhan. masjid masjid, madrasah madrasah, persatuan muhamadiyah dan lain lain dari masyarakat setempat dengan projek Nasi Beriyani Amalnya hanya dengan bekalan cengtungnya dan bantuan beberapa muridnya sehingga berjaya terkumpul lebih kurang 15 juta dolar, dan mungkin lebih. Dana yang terkumpul untuk Masjid Khadijah sahaja melebihi 9 juta dolar. Ini mengkagumkan saya. ( Selepas tahun 2010, beliau mula slow down kerana sebab kesihatannya )
Sebagaimana kita semua tahu, antara falsafahnya yang sangat jelas ialah tidak mengambil upah dari sebarang kebajikan hatta syarahan dan ceramahnya, dan ini adalah jenteranya dalam membantu dan beramal.
Saya sudah mencampuri ramai asatizah di Singapura, yang tua mahupun yang muda, tetapi belum pernah berjumpa dengan seorang yang sangat terbuka pemikirannya dan sangat mendalam cara fikirannya. Sangat kuat membaca maulid Nabi s.a.w sehingga indera rohaninya dapat dirasakan terhubung dengan Nabi s.a.w apabila beliau bercakap mengenai Nabi s.a.w secara khusus. Penghidupan beliau seluruhnya adalah motivasi untuk para murid agar mereka terus bangun dan terus usaha mengeluarkan diri dari kerendahan dan kemunduran. Seseorang yang sangat kuat mengalakkan kita mendekati Alquran dan mempelajarinya dengan betul.
Ramai juga para menteri Islam kita yang sudah kembali kerahmatullah mahupun yang masih hidup menjadi muridnya- selepas mula mengenal dirinya. Antara mereka ada yang pernah berucap di hadapan para muridnya dan mengatakan : 'Awak semua sangat beruntung kerana telah pilih seorang guru agama yang tepat, saya apabila mengenalinya saya rasa cukup kagum dengan dirinya, malah apa yang saya boleh melihat sekarang, jika seluruh masyarakat Islam kita mengikuti beliau, belajar dengan beliau pasti kita dapat membangun dengan lebih cepat dan cemerlang.-2008 '
Apa yang saya tuliskan disini semuanya tertutup dari pengetahuan masyarakat kerana doanya sendiri tidak mahu dikenali , agar puji memuji - taasub tidak berlaku dalam jamaahnya, di tambahkan pula sifat tawadhu'nya yang sangat jelas.
Saya selepas sekian lama, menghitung nilai nilai akhlak dan wataknya, saya makin kagum kerana kesemua nilai dan watak yang ada pada diri beliau terkumpul dalam diri Imam Ali k.w. Sehingga saiz badannya, tebal janggutnya , garau suaranya , tinggi semangatnya, tawadhu'nya, ilmunya, kedekatannya dengan Mursyidnya - semuanya persis terdapat dalam diri Imam Ali k.w sebagaimana tertulis dalam kitab-kitab ulama kita...bagaimanakah Abah Anom membimbingnya sehingga begini ...?
Oleh yang demikian, secara hakikat, ciri Nabi sentiasa terulang berserta ciri para sahabat sentiasa gemilang, walaupun mereka semua sudah pulang. Inilah berita gembira yang saya nak bilang.
Akhir sekali saya menyeru seluruh umat Islam Singapura umumnya, kepada pencinta kesufian dan para pencinta Imam Ali dan sekalian asatizah yang saya kenali atau pun tidak, secara khususnya...." agar ikutilah jejak langkah orang yang saya maksudkan ini , ilmu agama ada dimana-mana, tetapi ilmu rohani semakin puspus, kita sudah tidak ada masa untuk tunda tunda lagi, masa berjalan dengan pantasnya, umur makin menyempit kita, jalan akhirat sangat jauh dan payah, dunia tidak putus asa menggoda kita, menggoda kita agar terlupa Allah, terlupa mati dan terlupa nerakaNya, malaikat maut tidak pernah silap dan terlambat, tiap masa yang berdetik - maut datang menghambat , semoga selamat hidup kita di dunia dan kabulnya segala amalan kita untuk kebahagian akhirat kita.'
Saya mohon maaf kepada Almukaram Ustaz atas penulisan ini, jika tidak kerana kasih sayang saya kepada para teman dan masyarakat umum, sudah pasti keindahan ini saya nikmati sendirian dan tidak menceritakannya.
Saya tidak mengetahui umur dan batasnya, namun pengongsian ini adalah satu rahmat bagi mereka yang mencari. Semoga Almukaram di panjangkan usia, diberikan kesihatan dan dipelihara terus oleh Allah swt dapat membimbing umat Islam kita sebagaimana beliau telah membimbing kita, beliau telah membimbing seluruh anggota keluarga saya dari datok saya Almarhum Hj Amir, bapa saya Hj Mohd Saleh, hingga ke anak saya Saifullah Mubarak dalam perjalanan ini. !
لولاك لولاك ما رأيتُ الأفلاك